Cemerlang Di Dunia, Sejahtera Di Akhirat

    Memudahkan Anda Berwaqaf: Semua orang mampu, Mana-mana pun boleh!!!

Majlis Pelancaran Skim Waqaf Tanah milik

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) ini telah disempurnakan pada 4 Disember 2010  bersamaan 27 Zulhijjah 1431 oleh SERI PADUKA BAGINDA  YANG DI-PERTUAN AGONG AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN  

ibni ALMARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFIBILLAL SHAH, bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu

KATA-KATA ALUAN BUKU PELANCARAN

Perdana Menteri Malaysia

Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas kepada PEYATIM di atas kesungguhan dan kegigihan pertu-buhan ini dalam bidang pendidikan untuk anak-anak yatim dan miskin di negara ini.

Kesungguhan pertubuhan ini boleh dilihat dengan jelas melalui pelaksanaan projek waqaf yang telah pun mendapat kelulusan dari pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Projek yang dijalankan oleh PEYATIM ini merupakan satu inisiatif yang harus diberikan galakan dan dorongan.

Saya berharap agar semua pihak dapat memberikan sokongan yang padu kepada PEYATIM.Semoga dengan sokongan tersebut, usaha murni pertubuhan ini untuk membela nasib dan menaikkan lagi taraf sosial mereka menjadi kenyataan.

Terima kasih. Wassalam.

“1 MALAYSIA” Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

(DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK)

SOKONGAN PELAKSANAAN

Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Mantan Perdana Menteri, Merangkap Penaung Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM).

Yang Amat Berbahagia Tun, dalam Ucapan Perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 PEYATIM yang diadakan pada 11 Disember 2010 bersamaan 5 Muharram 1432 bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur memuji strategi PEYATIM untuk membangun anak-anak yatim dan miskin melalui pendidikan.

Beliau juga menjelaskan Skim Tanah Waqaf tersebut adalah satu langkah bijak dan pro-aktif untuk membiayai pengajian anak-anak yatim sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Ini terbukti ramai anak yatim yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

SEKAPUR SIREH

Menteri Besar Terengganu

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada pertubuhan ini, untuk melaksanakan projek waqaf tanah Lot 3214 Mukim Tasik, Setiu, Terengganu.

Projek ini bertujuan bagi mengumpul dana pendidikan tinggi untuk anak-anak yatim dan juga miskin di negara kita.

Kesungguhan PEYATIM yang begitu komited dengan program pendidikan anak yatim dan juga miskin ini harus diberi sokongan dan galakan.

Kerajaan negeri Terengganu akan sentiasa tampil ke hadapan dan memberi bantuan-bantuan yang diperlukan agar tujuan dan hasrat yang murni ini akan menjadi kenyataan.

Saya menyeru kepada semua pihak terutama sekali kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain supaya dapat mengambil langkah-langkah yang sama sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh pihak PEYATIM.

Program sebegini juga selaras dengan agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” seperti yang direncanakan oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.

Sekian, terima kasih.

“MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN”

(DATO’ SERI HAJI AHMAD BIN SAID)

SEULAS PINANG

Presiden Peyatim

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan berkatNya Projek Waqaf Tanah Lot 3214 Mukim Tasik, Setiu, Terengganu telah diluluskan oleh MAIDAM.

Dengan kelulusan projek ini, harapan kita untuk menghasilkan golongan profesional dalam pelbagai bidang di kalangan anak-anak yatim akan tercapai.

Selain itu, pembelaan terhadap anak golongan miskin juga dapat direalisasikan melalui projek waqaf ini.

Oleh yang demikian, sokongan penuh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dan semua pihak telah memberi kekuatan kepada kami dalam usaha membantu semua pihak yang memerlukan.

Sekian, terima kasih.

“kebajikan anak yatim tanggungjawab bersama”

(PROF. DATO’ DR. HAJI TENGKU MAHMUD BIN MANSOR)